Tiupan sangkakala pertama Sangkakala_dalam_Islam

Pada tiupan ini, seluruh alam semesta termasuk langit dan bumi serta alam buana akan bergoncang dengan sebenar-benar goncangan dan benar-benar hebat, seluruh makhluk digambarkan ketakutan dan amat terperanjat, Menurut Al-Quran gambaran tatkala pasca tiupan pertama cukup dahsyat, sehinggakan ibu yang menyusukan anaknya akan melepaskan (mencampakkan) anaknya, orang yang hamil, tiba-tiba melahirkan anaknya walaupun janinnya masih muda, manusia juga lintang pukang seperti kupu-kupu bertebaran (Surah Al-Qariah).Al-Quran juga jelas menggambarkan tiada sesuatupun yang mengetahui bila Kiamat itu muncul, sedangkan Hari Kiamat itu berlaku tatkala manusia sedang sibuk melayan urusan dunia mereka, ada juga yang sibuk memikirkan dan bertanya antara sesama mereka tentang bila Kiamat akan bermula dan ada juga manusia sedang sibuk bertengkar atas pelbagai urusan. Firman Allah SWT dalam Surah Yaasin ayat 48-50 bermaksud:

Dan mereka berkata: "Bilakah (terjadinya) janji ini (hari berbangkit) jika kamu adalah orang-orang yang benar?. Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan sahaja yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar. Lalu mereka tidak kuasa membuat satu wasiat pun dan tidak (pula) dapat kembali kepada keluarganya.

Digambarkan suasana keadaan bumi berlakunya gempa bumi yang dahsyat, gunung-ganang hancur dan berkecai (Surah Al-Qariah dan Surah At-Takwir), kerak-kerak bumi diterbalikkan, laut menaik seperti ombak tsunami yang begitu hebat serta panas mendidih (Surah At-Takwir). Kebakaran yang berlaku akibat letusan gunung berapi, meletupnya tempat simpanan gas, nuklear, sehinggakan tidak dapat dipadam, api marak dan menjulang tinggi dan seluruh dunia diselaputi asap tebal. Bumi digambarkan hilang cahayanya tiada lagi sumber cahaya, bumi menjadi gelap gelita.

Al-Quran juga menggambar suasana langit juga turut tidak teratur, planet-planet tidak lagi beredar pada orbitnya, langit dilihat terbelah (Surah Al-Insyiqaq), bintang-bintang bertaburan, matahari hilang akan cahayanya (Surah At-Takwir). Semuanya berlanggar antara satu sama lain. Tentang tiupan sangkakala pertama, Allah menjelaskan dalam Al-Quran:

Pada masa berlakunya "tiupan sangkakala yang pertama" yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah ranah sekalian makhluk selain dari yang dikecualikan), (Surah An-Naaziat : 6)

Dari dalil diatas ternyata apa-apa yang berada di seluruh pelosok langit dan di bumi akan mati, melainkan mereka yang dikehendaki oleh Allah. Ulama tafsir berpendapat makhluk yang masih hidup adalah golongan Malaikat. Surah An-Naaziat ayat 1 hingga 6 jelas menunjukkan pada saat berlakunya tiupan sangkakala pertama Malaikat-malaikat akan memulakan tugasnya dengan agresif untuk mencabut nyawa dan menghancurkan langit dan bumi atas perintah Allah.

Keadaan iblis dan syaitan

Allah telah berjanji untuk memanjangkan umur iblis dan syaitan sehingga munculnya Hari Kiamat, iblis dan syaitan pasca tiupan sangkakala pertama dilihat akan menjadi tidak kehaluan, ketika itu iblis, mula menyesali perbuatan jahatnya kepada anak-anak dan keturunan Nabi Adam a.s.. Iblis ketika itu menangis dan berkata: "Tuhanku, sekarang suruhlah aku sujud kepada siapa yang Engkau kehendaki". Ketika itu para syaitan berasa hairan dengan keadaan iblis yang merendah diri, lalu mereka bertanya, "Wahai penghulu kami kepada siapa engkau tunduk?", iblis mengangkat kepalanya lalu berkata "Aku merendah dan sujud kepada Tuhan sekalian alam yang telah memanjangkan umurku (dan umurmu) sampai hari sudah ditentukan. Sekarang sudah dekat masanya hari yang ditentukan itu.". Maka seluruh bala tentera syaitan dan iblis menangis dan memohon taubat dari Allah, tiada taubat dari Allah kepada mereka lagi kerana mereka telah kafir. (Surah Al-Baqarah ayat 34)